TERMA & SYARAT NOIR HEALTH & BEAUTY SDN. BHD.

Berikut adalah terma & syarat untuk menyertai ekosistem niaga NOIR HEALTH & BEAUTY SDN. BHD. (1208291-P) (selepas ini akan dirujuk sebagai “Syarikat”).


Anda DINASIHATKAN untuk membaca dengan teliti dan memahami dengan jelas setiap terma & syarat yang tertera di bawah ini.

BAHAWASANYA:

A. Terma & syarat ini termeterai dan mengikat kedua belah pihak apabila anda telah bersetuju dengan kesemua terma & syarat yang tertera di bawah dan membentuk suatu Perjanjian yang sah di antara pihak Syarikat dan anda;
B. Anda perlu melengkapkan pendaftaran secara online beserta yuran pendaftaran yang telah ditetapkan oleh pihak Syarikat;
C. Syarikat telah bersetuju untuk melantik dan anda bersetuju untuk menerima satu pelantikan yang sah untuk menjual dan/atau mempromosikan dan/atau memasarkan produk yang dikeluarkan oleh pihak Syarikat (selepas ini akan dirujuk sebagai “Produk”).
D. Hak-hak yang dinyatakan di dalam Perjanjian ini tidak boleh diberikan dan/atau dipindahkan kepada mana-mana pihak yang lain tanpa persetujuan dan/atau kebenaran bertulis daripada Syarikat.

ADALAH DENGAN INI DIPERSETUJUI SEPERTI BERIKUT BAHAWA: –

a) Di dalam memasarkan dan menawarkan Produk, anda hendaklah bertindak dengan tekun, menumpukan masa dan usaha yang munasabah untuk mempromosi dan/atau memasar dan/atau menjual Produk, sama ada secara sepenuh masa atau separuh masa;

b) Anda hendaklah membawa diri anda secara eksklusif sebagai JENAMA NOIR, dan mengekalkan pengetahuan teknikal dan praktikal yang munasabah berkenaan dengan Produk;

c) Anda TIDAK DIBENARKAN pada bila-bila masa sepanjang tempoh Perjanjian ini untuk memasarkan dan/atau menjual dan/atau mempromosikan mana-mana PRODUK SYARIKAT LAIN yang BUKAN merupakan produk NOIR dan/atau produk yang mempunyai ciri-ciri produk yang sama dengan NOIR iaitu KOSMETIK DAN PENJAGAAN KULIT.

d) Anda perlulah menjual dan/atau memasarkan dan/atau menawarkan produk NOIR kepada pelanggan dan/atau pembeli mengikut jadual dan/atau kadar harga yang telah ditetapkan oleh pihak Syarikat;

e) Anda juga tidak dibenarkan sama sekali untuk membuang atau memotong tanda harga runcit yang telah dicetak dan/atau tertera dan/atau menanggalkan pelekat hologram Syarikat yang ditampal di kotak Produk dan/atau menjualnya semula menjadi barang yang berasingan jika ia telah ditetapkan di dalam suatu set.

f) Sebarang bentuk tawaran potongan harga, jualan murah, cabutan bertuah, hadiah atau promosi produk hendaklah ditetapkan oleh pihak Syarikat dan anda tidak dibenarkan mengadakan sebarang bentuk promosi jualan murah dan/atau tawaran potongan harga kepada pelanggan dan/atau pembeli tanpa pengetahuan Syarikat dan sebarang bentuk teknik jualan yang ingin dilaksanakan oleh anda mestilah mendapatkan kebenaran Syarikat terlebih dahulu.

g) Had pencapaian jualan minima anda pada setiap bulan tertakluk kepada notis pemberitahuan pihak Syarikat dari masa ke semasa;

h) Anda juga diwajibkan untuk melakukan penyambungan pembelian (restock) setiap bulan untuk setiap produk mengikut kepada notis pemberitahuan yang dikeluarkan oleh pihak Syarikat;

i) Menyedia dan menyelenggarakan sebarang laporan dan dokumentasi bulanan berkaitan jualan, aktiviti dan rancangan pemasaran, dan stok, seperti yang diminta oleh Syarikat.

AKTIVITI PEMASARAN & JUALAN SECARA ATAS TALIAN (ONLINE)

a) Anda diberi kebenaran untuk menggunakan platform media sosial seperti Facebook, Instagram, Twitter, dan sebagainya untuk menjual dan/atau mempromosi Produk Syarikat dengan menggunapakai nama & jenama NOIR;

b) Anda TIDAK DIBENARKAN untuk menggunakan platform media sosial dengan nama & jenama NOIR untuk menjual dan/atau mempromosikan mana-mana produk syarikat yang lain;

c) Anda hendaklah menggunakan nama sendiri ataupun menggunakan label NOIR sahaja tanpa merepresentasikan nama akaun media sosial anda sebagai Ibu Pejabat Syarikat (HQ) atau NOIR (Official) bagi mengelakkan kekeliruan kepada para pengguna Produk atau pelanggan yang lain;

d) Bagi tujuan promosi dan pemasaran, anda hendaklah menggunakan bahan promosi yang disediakan oleh pihak Syarikat sahaja. Anda dilarang untuk membuat sebarang bahan promosi yang tidak menepati piawaian dan tidak mendapat kelulusan daripada pihak Syarikat;

e) Anda tidak dibenarkan untuk menggunakan nama dan/atau gambar pengasas NOIR dalam mempromosikan dan memasarkan produk di dalam ruangan media sosial, melainkan jika gambar anda tersebut diiringi dan/atau bersekali dengan gambar pengasas NOIR maka ianya adalah dibenarkan; dan

f) Sekiranya anda ingin memasarkan produk NOIR melalui platform laman web “E-commerce” maka permohonan hendaklah dibuat kepada Syarikat di dalam tempoh Empat Belas (14) hari sebelum ianya dipasarkan dan/atau dilancarkan di dalam platform “E-commerce” tersebut.

PUBLISITI & PENGIKLANAN

a) Sebarang bentuk publisiti dan pengiklanan produk NOIR sama ada melalui media cetak, media elektronik termasuk media sosial melalui medium “Facebook”, “Twitter”, “Instagram”, “Shopee”, “Lazada” dan lain-lain yang berkaitan hendaklah dirujuk kepada bahagian Promosi dan Pengiklanan Syarikat terlebih dahulu dan perlu mendapat kelulusan bertulis daripada pihak Syarikat bagi memastikan keseragaman bentuk publisiti dan pengiklanan tersebut.

b) Anda hendaklah mematuhi garis panduan yang dikeluarkan oleh pihak Syarikat sebelum dan semasa mempromosikan dan memasarkan produk-produk perniagaan yang mana pihak Syarikat adalah dikecualikan untuk bertanggungjawab sekiranya promosi dan/atau pemasaran dilakukan atas representasi anda sendiri tanpa merujuk kepada garis panduan yang telah ditetapkan oleh pihak Syarikat.

KEBENARAN PENGGUNAAN CAP DAGANG (TRADEMARK) SYARIKAT

a) Sebagai pemilik tunggal dan eksklusif CAP DAGANG & JENAMA NOIR, Syarikat dengan ini memberikan kebenaran kepada anda di dalam tempoh Perjanjian ini dan tertakluk kepada batasan yang dinyatakan di dalam Perjanjian ini, hak eksklusif yang tidak boleh dipindah milik, untuk mengguna Cap Dagangan Syarikat dengan tujuan hanya untuk memasarkan dan/atau menawarkan dan/atau menjual Produk NOIR; dan

b) Sebarang penyalahgunaan cap dagang Syarikat untuk tujuan selain daripada yang dinyatakan dalam di atas adalah DILARANG sama sekali.

c) Penggunaan Cap Dagang & Jenama Syarikat pada laman web “E-commerce” atau pada domain laman web yang tidak mendapat kebenaran daripada pihak Syarikat juga adalah DILARANG; dan

HAK MENDAFTAR & MEREKRUT

Apabila Syarikat bersetuju untuk melantik anda sebagai Partner atau Distributor, sila rujuk dengan Syarikat untuk garis panduan mendaftar & merekrut ejen anda. Sekiranya anda dilantik sebagai ejen Syarikat, anda berhak untuk mendaftar dan merekrut dropship pada bila-bila masa tanpa had bilangan yang ditetapkan.

MARGIN KEUNTUNGAN

a) Margin keuntungan yang akan anda perolehi (yang mana ianya ditentukan tertakluk kepada notis pemberitahuan pihak Syarikat dari masa ke semasa) adalah dikira daripada semua Jualan Bersih Produk secara langsung daripada anda setelah ditolak dengan harga yang ditawarkan oleh pihak Syarikat kepada anda.

b) “Jualan Bersih Produk” hendaklah ditakrifkan sebagai jumlah hasil jualan daripada jualan yang dibuat oleh anda tanpa mengira sebarang caj balik, pengembalian dan/atau kemungkiran oleh pelanggan.

c) Sekiranya Pihak-pihak menamatkan Perjanjian ini untuk sebarang alasan, Syarikat tidak akan mengambil semula produk yang telah diserahkan kepada anda dan tertakluk ke atas kapasiti anda sendiri untuk menghabiskan jualan produk-produk yang ada di dalam simpanannya.

PENILAIAN PRESTASI

a) Syarikat berhak untuk menilai prestasi anda pada setiap DUA (2) bulan yang dikira bermula daripada tarikh pelantikan bagi melihat perkembangan jualan yang dicapai.

b) Sekiranya Syarikat mendapati bahawa anda tidak dan/atau kurang aktif maka Syarikat berhak untuk memberikan notis peringatan kepada anda bagi memperbaiki dan/atau meningkatkan prestasi kadar penjualan produk di dalam tempoh TIGA (3) bulan daripada tarikh Notis Peringatan bertulis diberikan oleh Syarikat.

c) Sekiranya anda masih lagi gagal untuk mencapai indeks kadar pencapaian penjualan yang ditetapkan maka pihak Syarikat boleh membatalkan keahlian anda dan menamatkan Perjanjian ini dengan notis bertulis daripada pihak Syarikat.

DEKLARASI

Anda tidak boleh membuat sebarang deklarasi untuk sebarang papan tanda pengiklanan produk, pada mana-mana bahan cetakan, pengiklanan di dalam ruang media sosial atau di mana-mana tempat (platform) ruang secara dalam talian yang lainnya, apa-apa wadah bahan-bahan cetakan yang lain, apa-apa aplikasi perhubungan telefon seperti Whatsapp, Line, WeChat dan lain-lain TANPA TERLEBIH DAHULU merujuk kepada maklumat-maklumat Produk yang disalurkan oleh pihak Syarikat. Sekiranya berlaku, sebarang risiko adalah di bawah tanggungjawab anda dan pihak Syarikat tidak akan bertanggungjawab.

KERAHSIAAN

Anda tidak akan mendedahkan kepada mana-mana pihak ketiga apa-apa butiran mengenai perniagaan Syarikat, termasuk, tanpa batasan apa-apa maklumat mengenai mana-mana maklumat pelanggan Syarikat, pelan perniagaan, atau harga (selepas ini dirujuk sebagai “Maklumat Sulit”). Hal ini juga termasuk membuat salinan untuk sebarang Maklumat Sulit untuk kegunaan peribadi dan tidak mendapat kebenaran daripada pihak Syarikat.
Sebaik sahaja anda ditamatkan perkhidmatan mengikut Terma & Syarat ini, anda akan memulangkan kepada Syarikat apa-apa dokumen berkaitan dengan perniagaan Syarikat atau mana-mana rahsia dagangannya yang berada dalam simpanan anda.

PENGUBAHSUAIAN, PINDAAN DAN/ATAU PENAMBAHBAIKAN

Tiada pengubahsuaian dan/atau pindaan dan/atau penambahbaikan kepada Terma & Syarat ini akan berlaku melainkan secara bertulis yang mana sekiranya ada akan dimaklumkan oleh Syarikat kepada anda terlebih dahulu. Sebarang pengubahsuaian dan/atau pindaan kepada mana-mana terma dan syarat adalah tertakluk kepada budi bicara dan hak mutlak sepenuhnya pihak Syarikat.

TEMPOH PELANTIKAN DAN PENAMATAN

Pelantikan ini akan mula berkuatkuasa pada tarikh permohonan ini diluluskan dan persetujuan antara kedua belah pihak telah dicapai. Pelantikan ini boleh terbatal apabila berlakunya pelanggaran dan/atau kemungkiran terma dan syarat di dalam Terma & Syarat ini, dan/atau sehingga mana-mana Pihak menamatkan Perjanjian ini secara bertulis. Anda hendaklah menghentikan aktiviti pemasaran dan/atau penawaran jualan Produk dalam tempoh TIGA PULUH (30) HARI dari tarikh penamatan dan/atau kemungkiran kontrak tersebut dan hendaklah terus mematuhi kewajipan untuk tidak berkongsi dengan mana-mana pihak ketiga mana-mana Maklumat Rahsia Syarikat.